Kesan & Akibat Tabiat
Merokok. Bahaya Kandungan Rokok Kepada Perokok & Orang Di Sekeliling
Pengenalan
Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah
diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat
yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad
s.a.w. Di kalangan masyarakat
beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja
untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan
keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh
kepada orang Barat yang menjajah mereka.
Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima
secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai
satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang
mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yg dipaparkan melalui media
massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan
yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan
menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak
kaum Muslimin di zaman ini.
Hadith Rasullullah s.a.w. :
1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari
& Muslim)
2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai
orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani"
(At-Termidzi)
3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia
terkira dari golongan itu" (Abu Daud)
Kandungan Berbahaya Dalam Rokok (Fakta)
Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih
4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini
setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok
termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di
dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun
serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang
digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman
mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin
dan Karbon Monoksida.
Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang
diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu
sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen
yang memulakan proses kejadian kanser.
Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain,
bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang
menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang
ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih
hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu
juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia
perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti
mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu
terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok,
meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan
kehendak Allah jua.
Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit
jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil
punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama
kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.
Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya
dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke
tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut
sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.
Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun
haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya,
iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran
penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran
kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu
dikeluarkan dari badan.
Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling
Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri
sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada
bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada
di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke
paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang
perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut,
kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam
paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di
bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli)
dan menyebabkan penyakit emfisima.
Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman
dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus,
perut dan pankreas.
Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem
saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi
sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga
merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.
Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom
kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot
kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.
Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan
dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu
lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah
pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.
Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas
terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi
beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan
sampingan sesuatu ubat itu.
Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal
Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok:
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak
Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok
Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian
setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru,
mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon
dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan
pecahan 25 peratus masing-masing.
Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke
hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit
sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian
kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan
produktiviti.
Faedah Berhenti Merokok
- Hidup lebih lama
- Dapat menghindari racun
- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada
bahaya merokok
- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang
sihat
- Meningkatkan deria rasa dan bau
- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang
untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.
Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok
- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
- Yakinkan diri
- Buat nota peringatan
- Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"
- Tumpukan pada hari ini
- Sentiasa berfikiran positif
- Dapatkan sokongan
- Lawan keinginan untuk merokok
- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
- Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok
No comments:
Post a Comment