Tahap keseriusan kanser prostat boleh menentukan sejauh mana
kanser tersebut telah merebak. Pengetahuan tentang tahap keseriusan kanser ini
membolehkan doktor pakar menentukan rawatan yang sepatutnya dijalani oleh
pesakit tersebut.
Tanda-tanda awal kanser prostat
Kanser prostat di peringkat awal sering kali tidak
menunjukkan apa-apa gejala. Apabila tanda-tandanya muncul, ia mungkin
melibatkan beberapa masalah berikut:
* Sering membuang air kecil terutamanya pada waktu malam
* Kesukaran sewaktu mula membuang air kecil atau air kencing
yang tertahan
* Tidak boleh mengeluarkan air kencing
* Aliran air kencing yang lemah atau tersekat-sekat
* Kesakitan atau kepanasan semasa mengeluarkan air kencing
* Terasa sakit ketika air kencing keluar
* Terdapat darah dalam air kencing atau air mani
* Sering mengalami kesakitan atau ketegangan di bahagian
belakang, pinggang, atau paha.
Bagaimana cara mengesan kanser prostat:
Kanser prostat dapat dikesan dengan menjalani pemeriksaan
prostat melalui rektum dan membuat ujian PSA dalam darah. Sekiranya tahap PSA
tinggi, ujian biopsi dilaksanakan olek pakar urologi untuk memastikan kehadiran
kanser. Semasa ujian biopsi pakar urologi akan mengambil contoh sel-sel prostat
menggunakan jarum melalui rektum setelah diberi ubat kebas. Contoh sel-sel ini
akan dikaji oleh ahli patologi, iaitu seorang doktor yang pakar dalan kaji
penyakit. Pakar patologi akan mengesahkan sama ada seseorang itu mempunyai
kanser atau tidak.
Kanser prostat boleh dihuraikan dari segi gred dan tahap.
Gred menerangkan bagaimana tumor itu menyerupai tisu-tisu
prostat yang normal. Berasaskan dapatan kajian biopsi melalui mikroskop, pakar
patologi melaporkan kanser prostat sebagai gred rendah, sederhana atau tinggi.
Salah satu sistem yang digunakan untuk menyalurkan gred kanser prostat ialah
sistem Gleason. Ia menggunakan skor dari 2 hingga 10. Skor yang tinggi
menunjukkan gred yang tinggi. Tumor gred tinggi biasanya membiak lebih cepat
dan mempunyai besar kemungkinan untuk merebak jika dibandingkan dengan tumor
gred rendah.
Tahap pula menunjukkan sejauh mana kanser itu telah merebak.
Empat tahap dalam kanser prostat
Tahap ini diambil kira dari segi saiz tumor tersebut, sama
ada nod limfa telah dijangkiti atau sama ada tumor tersebut telah merebak ke
bahagian badan yang lain.
* Tahap 1: Kanser adalah kecil dan terletak di bahagian
dalam kelenjar prostat dan tiada simptom apabila pemeriksaan rektal dijalankan.
* Tahap 2: Kanser masih berada dalam kelenjar prostat,
tetapi kebengkakan boleh dirasai apabila pemeriksaan rektal dijalankan.
* Tahap 3: Kanser telah pecah melalui selaput prostat dan
kemungkinan besar telah merebak ke bahagian seminal.
* Tahap 4: Kanser telah merebak ke bahagian pelvis (tulang
pinggul), atau telah merebak ke nod limfa atau bahagian-bahagian badan yang
lain, seperti tulang, hati atau paru-paru.
Bagaimana kanser prostat merebak
Kanser prostat merebak melalui saluran limfa dan darah.
Kanser prostat kerap merebak ke tulang berbanding bahagian-bahagian tubuh yang
lain.
Untuk mengenal pasti tahap kanser ujian ultrasound, skan
tulang dan skan berkomputer untuk paru-paru, abdomen dan pelvis dijalankan.
Peringkat TNM dalam kanser prostat
Para pakar dan doktor menggunakan sistem berperingkat yang
rumit yang juga dikenali sebagai sistem TNM. Kaedah ini digunakan di seluruh
dunia.
Ia mengimbas 3 bahagian iaitu:
* Tumor (T)
* Nod Limfa (N)
* Kanser peringkat kedua atau Metastises (M).
Doktor boleh mengulas lanjut tentang kaedah pengesanan
kanser dan peringkat-peringkat/tahap keseriusan kanser dengan lebih mendalam.
Artikel Dipetik Dari: DR. SULAIMAN TAMANANG
No comments:
Post a Comment