Sementara berdasarkan sistem politik adat, luak-luak tersebut dikelompokkan pada tiga jenis meliputi luak berundang yang dipimpin oleh Undang, Luak Tanah Mengandung yang dipimpin oleh Penghulu Luak dan wilayah Tampin yang ditadbir oleh Tunku Besar Tampin.
Selain itu, wujud pula Wilayah Adat Lingkungan yang dipimpin oleh Yang di-Pertuan Besar Seri Menanti yang juga diakui sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Luak berundang terdiri daripada Luak Jelebu, Johol, Rembau dan Sungai Ujong sementara luak-luak ini dipanggil luak berundang kerana ketua adat di luak tersebut dipanggil atau digelar Undang.
Dari segi politik adat setiap luak berundang adalah sebuah negeri yang mempunyai kuasa autonomi tersendiri di mana kedudukan Undang pada setiap luak adalah sama seperti status raja di negeri-negeri Melayu.
Walau bagaimanapun terdapat perbezaan antara satu luak dengan luak yang lain dari segi struktur dan organisasi politik tetapi kesemua undang dipilih dan dilantik daripada suku Biduanda Waris.
Namun sistem giliran pusaka ini di kalangan Biduanda Waris berbeza antara satu sama lain.
Takhta Kerajaan Negeri Sembilan didukungi bersama-sama oleh Undang Yang Empat tersebut apabila kedudukan Undang Yang Empat sama pentingnya selaras dengan takhta kerajaan itu sendiri.
Gelaran Undang Yang Empat ini terdiri daripada Datuk Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong; Datuk Lela Maharaja, Undang Luak Rembau; Datuk Mendika Menteri Akhirul Zaman, Undang Luak Jelebu; Datuk Johan Lela Perkasa Sitiawan, Undang Luak Johol dan Tunku Besar Tampin.
Membicarakan tentang Penghulu Luak, mengikut sejarah sebelum kedatangan Inggeris gelaran Undang ialah Penghulu Luak, namun gelaran Penghulu Luak masih kekal hingga kini tetapi hanya wujud di dalam Luak Tanah Mengandung yang terletak di bahagian tengah dan timur Negeri Sembilan.
Berlainan dengan Luak Berundang, pemimpin adat di Luak Tanah Mengandung ini disebut Penghulu yang berada di bawah naungan Yang di-Pertuan Besar Seri Menanti.
Luak-luak tersebut dianggotai oleh Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Gunung Pasir dan Luak Inas.
Penghulu Luak Ulu Muar digelar Datuk Bendahara Setia Maharaja Setia Maharaja Lela Pahlawan dan sejarahnya, Luak Ulu Muar sendiri telah wujud semenjak pemerintahan Melaka lagi dan wujud di Temasik memandangkan Muar dan sungainya sudah pun bernama.
Pada ketika itu, Sultan Ahmad iaitu Sultan Melaka dikatakan berundur dari Melaka dalam tahun 1511 setelah dikalahkan oleh Portugis dan mencari perlindungan di Ulu Muar.
Kawasan sempadan luak tersebut termasuk Kuala Pilah, sempadan Gunung Pasir, Terachi, Jempol dan Johol.
Sementara, Penghulu Luak Jempol digelar Datuk Lela Putera Setiawan dan dari segi sejarah Luak Jempol dinamakan sempena peristiwa tragis yang berlaku ke atas seorang gadis bernama Jampu.
Gadis berkenaan merupakan anak kepada seorang To Batin di Ulu Jempol bernama To Pileh dan disebabkan kejelitaannya maka ramai pemuda menaruh hati untuk dijadikan isteri.
Pemuda-pemuda di Kampung Terentang sekitar kawasan Leban Condong juga berusaha untuk memenangi hati Jampu namun cuma salah seorang daripadanya telah berjaya memikat hati Jampu.
Perkara tersebut membuatkan pemuda lain iri hati dan berdendam sehingga menyebarkan fitnah kononnya Jampu melakukan perbuatan sumbang.
Sebagai ketua To Pileh terpaksa menjatuhkan hukuman kepada Jampu tanpa usul periksa dengan hukuman terjun ke dalam sungai yang disediakan ranjau buluh runcing.
Bagi membuktikan dirinya tidak bersalah Jampu terjun ke dalam sungai yang telah dicacakkan ranjau buluh runcing. Tidak beberapa lama kemudian barulah To Pileh menyedari anaknya Jampu tidak bersalah dan difitnah oleh pemuda-pemuda yang iri hati kerana harapan mereka ditolak.
Bagi mengingati kejujuran anaknya tidak bersalah, To Pileh telah menamakan sungai berkenaan dengan Sungai Jampu dan semenjak itulah nama luak berkenaan dikenali sebagai Jampu dan lama kelamaan disebut orang Jempol. Luak Jempol bersempadan dengan Pahang dan luak Ulu Muar.
Dalam pada itu kewujudan Luak Terachi bermula daripada penerokaan tiga keluarga Minangkabau yang membuka tanah sawah pada sekitar kurun kelapan belas.
Terachi mendapat nama sewaktu orang-orang Minangkabau meneroka di Terachi mengupah beberapa Orang Asli menebang sebatang pokok besar terletak di tapak Sekolah Kebangsaan Terachi sekarang.
Setelah berhari-hari Orang Asli membuat kerja pokok berkenaan namun tidak juga tumbang dan sikap mereka mengambil upah menebang pokok tersebut juga tidak disenangi oleh orang-orang Minangkabau.
Macam ni tak aci, upah sudah diambil, tetapi kerja tak dibuat, rungut beberapa orang Minangkabau yang mengupah orang asli berkenaan.
Sebenarnya menebang pokok besar bukanlah mudah ketika itu memandangkan kelengkapannya hanya kapak dan beliung sahaja lantar menyebabkan memakan masa berhari-hari bagi menebang sebatang pokok yang besar.
Tetapi disebabkan rasa tidak senang hati itu diluahkan menjadi kemarahan maka perbuatan Orang Asli itu dianggap sebagi menipu dan dirasakan tidak aci (atau tidak dapat diakui) oleh orang-orang Minangkabau.
Berpunca daripada peristiwa menebang pokok besar inilah mereka menamakan tempat berkenaan Tak Aci hingga akhirnya bertukar menjadi Terachi.
Sempadan Luak Terachi meliputi hingga simpang ke Seri Menanti dan tebing sungai di Ulu Muar hingga ke Air Itam di sebelah timurnya dan penghulu Luak Terachi bergelar Datuk Anjah Pahlawan Orang Kaya Lela Setiawan.
Luak Gunung Pasir juga mempunyai sejarah yang tidak kurang menariknya di mana penduduk asal Luak Gunung Pasir ialah orang-orang Minangkabau dari suku Tanah Datar yang ke sini diketuai oleh dua orang bersaudara iaitu Sutan Sumanik keluarga Sutan Tengah Padang dan Sutan Johan Kebesaran.
Mereka dikatakan anak saudara Dato Mukhdom Sakti iaitu seorang pembesar di Minangkabau dari suku Tanah Datar dan datang setelah Dato Raja daripada Luak Tanah Datar keluarga Dato Bendahara di Sungai Torap membuat penempatan di Tanjung Alam.
Dua saudara ini dikatakan membawa rombongan mereka melalui Siak terus menyeberang ke Melaka dan Rembau dan dari sanalah mereka berpindah ke Seri Menanti dan membuat penempatan di Tanjung Alam yang kemudiannya dikenali sebagai Gunung Pasir. Sempadan Luak Gunung Pasir dari Kampung Pulau hingga ke Ulu Pilah.
Penghulu Luak Gunung Pasir digelar Dato Orang Kaya Mempasir Setiawan.
Luak Inas yang terletak di antara daerah Kuala Pilah dan daerah Tampin merupakan antara luak yang tertua dibandingkan dengan lain-lain luak di Tanah Mengandung.
Semasa penggabungan sembilan negeri Negeri Sembilan Luak Inas dikenali sebagai Jelai di mana penduduk asal Luak Inas ialah Orang Asli.
Mengikut sejarah mitos Luak Inas, sebelum Inas dibuka, ia dikuasai oleh Maharaja Jin yang bernama Maharaja Joing dan bertakhta di Lubuk Bunga.
Maharaja Joing bagaimanapun dipengaruhi oleh hulubalang Bendahara Seludai yang bernama To Sabun dan akhirnya berjaya memenjarakan Maharaja Joing selepas itu barulah lembah Sungai Jernih dapat diteroka dan bercucuk tanam.
Oleh kerana kawasan itu subur maka ramailah orang yang datang bercucuk tanam dan nama asal Inas diambil sempena daripada sungai yang jernih apabila penduduk hanya menyebut perkataan Ineh iaitu kependekan perkataan jernih.
Perkataan Ineh ini telah ditulis sebagai Inas dalam bahasa persuratan dan kekal hingga sekarang dan Sempadan Inas Rembau, Johol dan Gunung Pasir.
Sementara penghulu Luak Inas digelar Dato Johan Pahlawan Lela Perkasa Walat Kuala Dioh.
Akhirnya, Luak Kecil Gemencheh yang penghulunya digelar Dato Orang Kaya Setiawan dan diperintah oleh seorang penghulu pusaka.
Berdasarkan perjanjian Negeri Sembilan 1889, Gemencheh berada di bawah naungan kerajaan Johol, Penghulu Gemencheh dipilih daripada anggota perut waris dalam suku Biduanda. Suku ini mempunyai dua perut iaitu Perut Hilir dan Perut Hulu.
Sementara Luak Ayer Kuning yang mempunyai penghulu bergelar Dato Orang Kaya Setiawan adalah sebahagian daripada Segamat dalam persekutuan negeri Sembilan lama.
Pada masa ini luak kecil ini adalah sebahagian daripada Luak Johol dan Penghulu Ayer Kuning dipilih daripada anggota suku Biduanda Waris termasuk pelantikan penghulu harus mendapat restu Undang Luak Johol terlebih dahulu.
(Sumber dari blog)
(Sumber dari blog)
No comments:
Post a Comment